Review "My Malaysian Tales" oleh Faizah Ahmad



Entah berapa puluh kali saya membaca kisah-kisah dalam buku My Malaysian Tales ini. 

Anehnya setiap kali membacanya, ia memberikan pelbagai rasa yang menusuk hati. Bahkan juga banyak ilham baharu bercambah dalam minda.

Barangkali mendengar tajuk buku ini, My Malaysian Tales, apa yang menariknya?

Mungkin dalam minda kita terfikir tiada apa yang baharu kerana kita adalah sebahagian dalam komuniti masyarakat ini.

Namun, jangan terkejut kawan seandainya tanpa sedar mulut ternganga luas. Banyaknya hal-hal yang kita tidak tahu dan ambil peduli.

Apabila membaca dan menatap satu persatu gambar, baharulah kita sedari rupa-rupanya banyak hal sedang perlahan-lahan melesat pergi. Barulah kita tahu sebenarnya kita adalah orang asing dibumi sendiri.

Sejujurnya saya sangat sukakan buku ini kerana ia memberikan kombinasi hebat antara penulisan dan fotografi. 

Kedua-dua elemen ini diadun dengan begitu berkesan sehingga menghasilkan jentikan emosi yang sangat mendalam terhadap diri.

Ada sesetengah orang pandai membidik lensa untuk menghasilkan foto-foto yang cantik tetapi tidak dapat menukang aksara dengan baik dalam menyampaikan maklumat kepada pembaca.

Ada juga yang hebat menutur bicara kata, tetapi tidak dapat menonjolkan foto yang cantik dan menarik daripada sudut fotografi.

Namun bagi saya, Stefano Romano mempunyai kedua-dua elemen diatas. Sekalipun beliau lebih dikenali sebagai seorang jurufoto professional yang hebat, sebenarnya hasil penulisan beliau seiring dengan ketajaman mata beliau membidik kamera.

Biasanya seorang jurnalis foto akan bercerita tentang budaya masyarakat, makanan, masyarakat atau apa-apa sahaja elemen yang unik untuk ditonjolkan. 

Hasilnya biasa kerana tiada unsur kecintaan yang mendalam terhadap perihal tersebut.

Namun guru saya ini tidak meletakkan diri sebagai orang Itali dalam komuniti. Beliau memakai topi sebagai seorang Malaysia dan lebih senang dengan panggilan pakcik berbanding 'Tuan' atau 'Sir.'

Maka kerana kecintaan itu, buku ini telah diadun dengan sangat baik sekali. Ada terjemahan pantun, ada puisi, peribahasa dan lagu Melayu lama. 

Bahkan beliau turut meletakkan gambar tape lama Allahyarhamah Rafeah Buang untuk album klasik Don Juan II. Ia salah satu kegemaran beliau mendengar lagu Melayu lama.

Saya terkesima membaca bab tentang Adat (1) dan Adat (II). Mahu tidaknya, saya sendiri tidak tahu dengan begitu mendalam seperti beliau. Terkadang terbit rasa malu sendiri.

Apabila melihat gambar buaian anak dalam bab ini serta merta ingatan saya kembali kepada memori puluhan tahun yang lampau.

Tangan saya lenguh menghayun buaian adik kerana emak memasak. Malu-malu cuba menyanyikan kembali lenggok lagu emak mendodoikan anak.

Terkadang 'du..du..du..', kadang-kadang meratib dengan kalimah La ila ha illallah. Kadang-kadang selawat ke atas Nabi SAW. Lama-lama saya sendiri yang hanyut dalam mimpi dengan dodoian sendiri.

Benarlah kata beliau, hal ini nampak remeh. Buaian zaman kini telah berganti dengan buaian elektrik. Tiada lagi alunan suara manusia yang menemani anak tidur. Tradisi ini semakin hilang dan pergi.

Dalam buku ini juga ada menonjolkan tentang titi tali. Sungguh saya tidak pernah tahu titi tali ini digunakan untuk menyeberang sungai di kampung. 

Barangkali sudah hampir tiada di sini. Namun apabila dinyatakan masih digunakan di Kampung Alor Madi, Anak Bukit, Alor Setar, saya teringin melihat bagaimana anak-anak ini menyeberang sungai untuk ke sekolah. 

Yang kelakarnya saya juga terasa ingin mencuba!

Bab My Good Home mengundang pelbagai rasa dalam hati. Saya memang peminat rumah Melayu tradisional. Walaupun perit untuk ditelan, benarlah kata penulis, rumah ini semakin pupus dan hampir ditelan zaman.

Apabila membaca jenis rumah lama seperti Rumah Melaka, Rumah Kutai di Perak dan Selangor, Rumah Perabung Lima di Kelantan dan Terengganu, Rumah Gajah Menyusu di Penang, dan Rumah Bumbung Panjang di Kedah,Perlis, Johor dan Pahang, saya berasa sangat terkesan.

Banyak sekali foto-foto rumah lama yang dikongsikan disini. Jika tidak dirakam dan dicetak begini, saya fikir generasi sekarang pun tidak akan dapat mengenal lagi rumah-rumah lama ini.

Selain tentang masyarakat Melayu, buku ini turut berkongsi tentang perayaan masyarakat majmuk lain di Malaysia. Kedengaran seperti biasa tentang sambutan Thaipusam, Deepavali dan Tahun Baru Cina. 

Jangan sangka rupa-rupanya banyak yang kita tidak tahu tentang kebudayaan masyarakat lain. Banyak pengetahuan baharu yang masuk ke dalam minda saya.

Selain tentang sosio budaya masyarakat di Malaysia, penulis juga berkongsi tentang teknik fotografi secara santai dalam bab Pasar Siti Khadijah dan Learn To Fly.

Selama ini saya sering tertanya-tanya kenapa guru saya ini suka dengan pasar jika hendak mengambil gambar. 

Dan saya juga pernah bertanya kepada beliau kenapa tidak mengambil gambar pemandangan?
Jawapannya saya dapat melalui kedua-dua bab ini.

Bab Learn To Fly adalah bab kegemaran saya. Selain dihiasi dengan gambar awan gemawan yang memikat, bab ini sebenarnya membawa satu nasihat,motivasi, dan analogi hati saya sangat berkesan buat saya.

Dua bab terakhir dalam buku ini iaitu HUSM, A Debt To Be Paid dan USM: My Ithaca membuatkan hati saya terjentik sayu. 

Tersentuh apabila kisah-kisah pesakit kanser memberi satu makna yang mendalam kepada penulis. 

Pengalaman beliau sebagai bekas pejuang kanser membuatkan penulisan tentang anak-anak pesakit kanser ini begitu hidup dan berbekas.

Salah satunya adalah kisah mengenai adik Nur Huda. Kematian adik Nur Huda meninggalkan kesan yang besar kepada beliau. 

Bahkan juga kisah salah seorang kanak-kanak 8 tahun yang bernama Bethanie juga menyentuh hati.

Bab terakhir secara tidak langsung menunjukkan kerinduan beliau terhadap USM dan Penang. 

Gambar-gambar bersama bekas VC USM, Prof Datuk Dr. Asma Ismail, memori bersama pelajar-pelajar PPIK, tasik berdekatan rumah Aman Damai dan kenangan bersama kawan-kawan adalah catatan perjalanan hidup yang indah buat beliau.

Hati saya tersentuh apabila membaca baris terakhir yang menyebut,
'See you at Subaidah: roti channai for everyone!"

Ia bukan hanya sekadar kata penutup bicara. Bukan juga sekadar kata yang menunjukkan kerinduan yang amat. 

Namun bagi saya ia sebuah pengharapan besar yang penuh cabaran.

Buku ini bagi saya sangat berbaloi untuk dimiliki. Ia sarat dengan ilmu, emosi, motivasi, kerja keras, kasih sayang dan kerinduan.

Jika kalian peminat fotografi, buku ini untuk kalian.

Jika kalian peminat penulisan, buku ini juga untuk kalian.

Jika kalian pencinta budaya dan adat, buku ini patut kalian hadamkan.

Jika kalian pencinta travelog, buku ini wajib kalian baca.

Jika kalian bukan semua di atas, buku ini juga perlu kalian baca. Kerana kita semua mempunyai hati yang penuh dengan kasih sayang terhadap Malaysia.

Saya tidak ada kiraan bintang untuk buku ini. Kerana bintang-bintang itu terlalu banyak untuk dihitung.

Tahniah guru saya yang ohsem! Buku ini sangat memberi inspirasi buat saya.

Cik Pae
~Pencinta Buku~

Comments

  1. Thank you for posting my post on this blog. I pray that this book review will help more people get My Malaysian Tales. Insha Allah. Amin.

    ReplyDelete

Post a Comment